OPS HANTAR PELAJAR IPT PULANG
SEMASA TEMPOH KAWALAN PERGERAKAN (PKP) - COVID19
01 MEI 2020, JUMAAT
Dilaporkan oleh Nooraini Aziz

Seramai 11 orang pelajar telah berlepas dari Politeknik Kuala Terengganu (PKT) dengan menaiki bas PKT untuk pulang ke kampung halaman masing-masing di daerah Setiu, Besut, Pasir Putih, Kota Bharu, Tumpat, Pasir Mas dan Jeli pada jam 9.00 malam tadi. Mereka telah diiringi oleh Pegawai Pengiring, Puan Mazuraida binti Abdullah bersama-sama dengan pemandu bas, En. Mohd Zaid bin Hitam dan ini juga merupakan trip pertama bagi OPS Hantar Pelajar IPT Pulang bagi Politeknik Kuala Terengganu.


Pihak bomba juga telah menjalankan sanitasi barang-barang pelajar dan bas yang digunakan untuk menghantar pelajar sebelum dan selepas perjalanan bagi mematuhi SOP yang telah ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).


Saringan kesihatan oleh Pejabat Kesihatan Negeri Kuala Terengganu kepada staf dan pelajar PKT yang terlibat bagi Misi Penghantaran Pulang Pelajar PKT ke kampung halaman masing-masing juga telah diadakan bagi memastikan tahap kesihatan para pelajar dan staf yang terlibat berada dalam keadaan baik.


Seluruh warga Politeknik Kuala Terengganu mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang telah terlibat dalam menjayakan OPS Hantar Pelajar IPT Pulang terutamanya kepada Kerajaan Malaysia, frontliners, dan juga kakitangan PKT yang telah terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam misi ini. Syabas dan tahniah diucapkan.

